Teknologi maklumat yang semakin berkembang telah mendapat perhatian ramai di seluruh dunia. Di mana sahaja internet diperkatakan. Dari Timur Tengah hinggalah ke Kepulauan Pasifik dan Asia Tenggara, internet dan teknologi berkaitan dibincang dengan penuh minat, sama ada tentang kebaikan atau keburukan yang dibawa bersamanya. Perbincangan terhadap pembangunan internet juga mengambil tempat secara agreasif. Pembangunan dan perkembangan ICT berkembang pesat dan tumbuh seperti cendawan sejak akhir-akhir ini. Abad ke-21 yang menjanjikan pelbagai cabaran dan kemungkinan menjuruskan dunia kepada bentuk ekonomi baru, serta terjelmanya teknologi maklumat, khususnya internet.
Internet yang dicetuskan melalui teknologi maklumat dan komputer merupakan teknologi yang paling cepat berkembang, selepas revolusi komputer dan komunikasi. Perkembangannya tidak dapat disekat dan terus mempengaruhi segenap bidang kehidupan manusia. Ia merangkumi bidang kehidupan daripada perkara asas seperti perbualan dan percakapan sehinggalah kepada unsur-unsur agama dan dakwah, serta propaganda. Bill gates (1996), peneroka bidang komputer yang terkenal, dapat memasarkan aplikasi keluaran “Window” ke serata dunia. Perkembangan teknologi yang begitu pesat pada masa ini di seluruh dunia memerlukan tindakan segera pembangunan sumber manusia untuk memberi latihan, pengetahuan dan kemahiran tentang teknologi maklumat, robotik dan sebagainya. Kehidupan manusia semakin banyak bergantung kepada komputer dan teknologi di era globalisasi hari ini.
Tidak syak lagi bahawa dengan segala kecanggihan dalam bidang teknologi maklumat yang kian menyemarak, dunia kini menjadi semakin kecil. Apa-apa sahaja peristiwa penting yang berlaku di mana-mana bahagian dunia akan menjadi berita sejagat dalam masa yang singkat, malah kerap pula boleh dinikmati secara terus menerus di bilik tidur kita. Demikianlah, era siber telah mewujudkan sebuah dunia tanpa sempadan.
Sudah diakui oleh ramai orang bahawa sesiapa yang tidak mempedulikan kehadiran “gergasi’ ini, pasti ketinggalan dan terus tenggelam dalam arus yang bermula daripada riak kecil kepada suatu gelombang besar seperti sekarang. Dan “riak” menjadi semakin besar serta menjanjikan pelbagai kemungkinan yang baik dan buruk. Perkara pokok ialah bagaimana kita menggunakan teknologi ini untuk kebaikan serta menjadikan diri kita menguasainya, bukannya teknologi ini menguasai kita.